Malam yang panjang itu sebenarnya ada bahagian untuk melembutkan hati, ada ruang mengadu kepada Allah, ada peluang mengetuk pintu maghfirah-Nya, ada kesempatan meminta perlindungan dar...ipada azab neraka. Tetapi manusia yang lalai sudah melepaskan peluang keemasan itu untuk sekadar menikmati mimpi yang sebenarnya tidak dapat memuaskan hati.
Untuk mencapai darjat iman yang tinggi seperti sahabat Rasulullah صلیﷲ علیﻪ و سلم , tentu banyak rintangan yang harus dihadapi. Malas dan leka dengan permainan serta hiburan membuat hati manusia keras, ditambah lagi kurangnya ilmu, penghayatan mengenai jalan mendekatkan diri kepada Allah.
Kesibukan memuaskan nafsu syahwat terlalu mengganggu kekhusyukan hati. Akhirnya kelalaian itu menjadi kebiasaan, bagi yang sudah terbiasa akhirnya bukan menjadi suatu keaiban lagi selepasnya. Semakin lama dirinya semakin tenggelam kealpaan. Bahawa kita perlukan pertolongan Allah kerana hanya Allah yang berkuasa menyelamatkan manusia daripada kejahatan dirinya sendiri.
Allah berfirman menerusi lisan Nabi Yusuf yang bermaksud:
:::: "Sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku." (Surah Yusuf, ayat 53)
Apabila nafsu sentiasa menyuruh berbuat maksiat, lalai dan menunda amal maka keraslah hati dan keringlah mata daripada air mata taubat. Jika berdiri untuk sembahyang (solat), akalnya menjelajah hingga ke seluruh ruang pemikiran yang terpendam dalam memorinya. Barang yang hilang pun boleh diingat di manakah tempat menyimpannya.
Maka terbukti sembahyangnya (solatnya) kosong, hatinya hampa, fikirannya tidak menumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah. Bagaimanakah matanya boleh menangis, hatinya boleh takut dan akalnya boleh tunduk di hadapan Maha Pencipta?
Begitu juga ketika membaca ayat al-Quran, ia hanya semata-mata untuk pahala, kerana ilmunya belum sampai kepada penghayatan yang mendalam terhadap isi kandungan al-Quran. Padahal Rasulullah صلیﷲ علیﻪ و سلم bersabda yang bermaksud:
:::: "Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dalam kesedihan. Maka menangislah apabila kamu membacanya. Jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. Dan elokkan suara saat membacanya kerana siapa yang tidak melagukannya dia bukanlah termasuk golongan kami." (Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Ya'la dan al-Baihaqi daripada Saad bin Abi Waqqash)
Rasulullah صلیﷲ علیﻪ و سلم pernah meminta Abdullah bin Mas'ud untuk membacakan al-Quran kepada Baginda. Beliau membaca awal surah al-Nisa hingga ke ayat 41 dan beliau melihat Rasulullah صلیﷲ علیﻪ و سلم menitiskan air mata.
Abdullah bin al-Syakir berkata:
:::: "Aku pernah menemui Rasulullah صلیﷲ علیﻪ و سلم ketika Baginda bersembahyang (solat), sementara dari dalam tubuhnya terdengar suara seperti air yang mendidih kerana tangisan." (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
KESILAPAN APAKAH YANG DILAKUKAN HAMBA ALLAH YANG TIDAK DAPAT MENANGIS INI?
Bagaimana jika air mata tidak juga mahu keluar, puas sudah hati memaksa sedih supaya kekhusyukan boleh singgah, walaupun sekejap. Kesilapan apakah yang dilakukan hamba Allah yang tidak dapat menangis ini?
## Pertama, kerana ceteknya ilmu sehingga hati dan akalnya tidak dapat meneroka lebih jauh memikirkan keagungan Allah.
## Kedua, kerana dirinya tidak merasai kesusahan ujian dan musibah, segalanya berjalan dengan aman dan lancar dalam kehidupannya sehari-hari.
## Ketiga, berlebih-lebihan dalam bergembira, bergurau dan bermain-main.
## Keempat, kurang muhasabah dan bertafakur melihat kelemahan dan kekurangan diri.
## Dan yang kelima, berlebihan pula membanggakan amal sehingga mematikan rasa takut kepada Allah.
Menangis tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lemah bahkan menangis kerana takut kepada Allah boleh melonjakkan semangat seorang hamba untuk mengorbankan segala-galanya yang dimiliki demi Tuhannya.
Bukankah syuhada menumpahkan darahnya kerana meninggikan kalimah Allah, biarlah kita mulakan ia dengan menitiskan air mata kerana Allah, itu saja yang termampu kerana harga setitis air mata itu lebih mahal dari dunia dan segala isinya.
Memang sungguh berbaloi!
Dr Juanda Jaya
Tidak ada komentar:
Posting Komentar