Oleh: Pusat Perubatan Nur 'A' Shifa
Konsep berzikir yang diamal secara beristiqamah dapat memberi tenaga yang kuat dalam tubuh badan dan membentuk aura positif sebagai benteng diri dari unsur negatif.
- Firman Allah s.w.t
2. Ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w yang bersabda:
"Dalam jasad anak Adam ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah segala anggota badan yang lainnya. Jika buruk maka buruklah seluruh anggota yang lainnya maka ketahuilah ia ada lah Hati (Bukhari dan Muslim)
3. Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani pernah berkata:
"Tiada yang membezakan seseorang wali itu dengan manusia yang lain dari segi amalannya kecuali ia memiliki kekuatan jiwa yang besar dan hebat dalam menghadapi musibah. Dan bagi wali itu karamah yang paling besar ialah istiqamah dengan Tuhannya, redha dan patuh pada qada dan qadarnya."
4. Berkata pula para Ariffinbillah:
"Keimanan seseorang itu bukannya boleh diukur dengan ibadat luarannya tetapi lihat bagaimana ubudiyahnya dalam menghadapi ujian dari Allah s.w.t
5. Para pencinta Allah juga sering mendapat ujian daripada Allah, malah dugaan mereka jauh lebih berat berbanding dengan manusia biasa, namun dengan pemilikan jiwa yang teguh dan bertaut rapat dengan khalik mereka memiliki jiwa yang kuat bagai gunung yang akarnya terpasuk pada bumi puncaknya memiliki aura yang cahayanya sampai ke langit lantaran zikrullah yang sentiasa hidup pada lidah mahupun secara sirrnya.
6. Manusia akan menjadi kuat jika jiwanya sering bertaut rapat dengan Tuhan. Dengan kata lain apabila seseorang itu sering berhubung dengan Allah dalam ibadat dan zikrullah akan menjadi tenanglah jiwanya. Ketenangan ini amat perlu untuk mengawal emosi, akal dan jasad. Kekuatan jasad amat terhad dan ianya mengikut kata hati. Kekuatan daya intelek (IQ) juga terbatas, ianya pula boleh dirancang, bijak dalam segala tindakan dan keputusan. Tetapi hakikat sebenar kehidupan menunjukkan terdapat banyak perkara luar batasan dan dugaan akal yang berlaku (mencarik adat). Akal akan menjadi lemah bila perancangannya gagal, kecewa bila menghadapi musibah, kematian, kesakitan, kehilangan dan sebagainya. Emosi juga tidak kuat jika tidak bertaut dengan ketuhanan.
7. Firman Allah s.w.t
وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ - "Dan kami lebih dekat kepadanya dari urat marikh (lehernya sendiri) (Al-Qaf: 16)
Kaum sufi memulakan pembinaan jiwanya dengan kekuatan ruh bukan akal atau emosi. Dia mengingati Allah hingga perasaan dan emosinya merasai cinta yang mendalam. Berdasarkan sirah dan sunnah Rasulullah s.a.w yang menyampaikan dakwah tauhid ke dalam masyarakat Arab ketika itu menerusi kaedah ibadat zikir sahaja selama 13 tahun. Zikir yang sungguh-sungguh akan menyebabkan seseorang itu merasa zauk dan wajidan iaitu asyik dengan Allah. Mereka menjadi fana' dan merasai kehampiran dengan tuhan, hingga hati merasa gementar bila disebut nama Allah menitis airmatanya bila mengingatinya. Seperti firman Allah: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ - "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. (Al-Anfal: 2)
8. Seseorang yang bertaut dengan zikrullah dapat menjalani kehidupan dengan tenang dan dengan senyuman keindahan tanpa stress, khusyuk dan tawaduk. Juga redha dalam menghadapi apa jua musibah dan dugaan. Hati mereka lebih tenang dari lautan lebih sejuk dari air di gunung malah ketenangan yang dimiliki akan dapat dirasai dan dikongsi dengan sesiapa sahaja yang mendampinginya. Inilah yang dikatakan tenaga dan aura yang positif dalam diri seseorang itu.
9. Aqidah adalah tali yang berpilin atau simpulan. Manusia juga diberi kebebasan mengikut sepanjang mana tali simpulan yang ada padanya. Semakin kuat simpulan jiwanya dengan Tuhan semakin terbatas pergerakan nafsu amarahnya. Begitu juga cahaya hatinya semakin terang cahaya ketuhanan semakin hancur segala kotoran mazmumah dan semakin nipis dinding hijab pendekatan dengan Allah. Hati yang terikat dengan Allah bagaikan kapal yang utuh dengan sauhnya.
10. Ulamak Tasawuf telah menyusun pelbagai cara dan kaedah zikir untuk memberi pelbagai cara dan kaedah zikir untuk memberi kesan pada jiwa pengamalnya. Pendapat jumhur ulamak Tasawuf, seseorang yang ingin mencapai ketenangan hati hendaklah ia mengambil talkin zikir dari seseorang yang telah memiliki maqam jiwa yang tenang.
11. Hati yang hidup dengan zikrullah, takwa, tawakal, yakin, redha, ikhlas dan memiliki salsilah atau sanad zikirnya sampai kepada Rasulullah s.a.w. Ini adalah pegangan seluruh kaum sufi. Dengan menerima zikir yang diajar dan ditalqin oleh guru akan memberi tenaga yang positif dan mempercepatkan kesan pada diri dan hati. Salsilah ini ibarat talian elektrik itu sendiri, jika terputus bekalan elektrik pada satu tiang maka terputuslah bekalan elektrik di rumah.
12. Hati memerlukan cahaya yang hanya boleh didapati dengan cara mengilap hatinya dengan zikir. Hati pada dasarnya memiliki cahaya yang gemilang namun ia tertutup lantaran sifat-sifat mazmumah zahir dan batin. Malah ia boleh menjadi buta dan tertutup dari alam-alam rahsia yang maujud. Dengan kata lain manusia itu hanya melihat pada zahir perbuatan Allah tetapi tidak dapat melihat ke dalam lautan hakikat dan makrifat.
13. Bila hati itu digilap dengan zikrullah dengan istiqamah kotoran jiwa akan terluntur maka terpancarlah Nur sedikit demi sedikit yang bermula dari alam malakut, jabarut, lahut itulah cahaya Ruhul Kudus yang makrifat pada Allah. Cahaya suci inilah akan memusnahkan unsur negatif yang menular dalam batin manusia. Kebanyakan manusia hari ini hanya menggunakan cahaya dunia pada hatinya dan bukan cahaya hati yang bersifat nurani sedangkan cahaya dunia itu adalah serendah-rendah cahaya jika mereka mengetahui.
14. Perinsip berzikir banyak disusun para ulamak tasawuf. Syarat utama bagi yang ingin menerima zikir hendaklah terlebih dahulu berwuduk dan sempurna fardu ainnya. Ada juga guru yang mengajar pada murid yang fasik dengan mengamalkan zikir atau kalimah tauhid Laa illaha illallhu dengan jumlah tertentu.
15. Guru ibarat menanam benih dalam qalbi muridnya dan murid pula perlu menjaga benih tersebut dengan menyiram, membaja dan memeliharanya dari kerosakan agar cahaya itu subur hingga jadi pohon yang kuat dan menghasilkan buahnya.
16. Para sufi adalah pakar membina jiwa manusia bermula dari hati dengan penyucian kotoran melalui zikrullah dengan perinsip yang betul ibarat menyuci kotoran pada baju yang putih. Dengan cara ini akan menghasilkan tenaga yang hebat yang dipanggil Aura positif pada jiwa.
17. Para sufi berzikir dengan perinsip tertentu pada anggota tubuhnya yang dibuat berulang kali sehingga terasa kesan pada qalbinya seperti aura panas atau pedih. Ini selari dengan hukum fizik yang menyatakan bahawa melakukan gerakan atau geseran pada tempat yang sama berulang alik akan menghasilkan tenaga elektrik. Bagi sufi tenaga ini diqasadkan untuk menghancurkan sifat amarah yang menjadi syaitan di dalam jiwa manusia. Bila terlucut nafsu amarah ini manusia bagaikan dilahirkan kembali. Mereka akan merasa kehidupan yang berlainan walaupun jasadnya masih sama namun rohani sudah berbeza.
18. Kebahagiaan itu di dalam diri yang maujud ia bagaikan mutiara di dalam lautan. Hati manusia bagai lautan, semakin dalam ia menyelam semakin indah dan terpegun memandang keindahannya. Di dalam dasarnya ada mutiara yang amat mahal dan menawan. Tanpa menyelam kedasar hakikatnya tiadalah ia merasai masin tawar air itu. Di sebalik masin air ada kemanisan yang sukar diertikan. Itulah RahsiaNya seperti firman Allah: يَخْرُجُ مِنْهُمَا اللُّؤْلُؤُ وَالْمَرْجَانُ فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ - "Dari keduanya keluar mutiara dan marjan, maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Ar Rahman: 22:23)
19. Kaum sufi amat mementingkan latihan pernafasan. Bila elok pernafasan maka eloklah perjalanan roh dengan tuhannya. Emosi amat mempengaruhi pernafasan sama ada dalam keadaan amarah "stress" atau tenang. Jika seseorang itu berjaya mengawal pernafsan maka ia berjaya mengawal emosinya.
20. Nafas adalah sumber kehidupan. Nafas adalah al-hayat yang datang dari zat Allah. Ia adalah rahsia illahi. Ulamak sufi mengamalkan zikir nafas untuk membersihkan rohani. Ahli tenaga dalaman mengamalkan pernafasan untuk mengaktifkan tenaga ghaib atau dipanggil batin sehingga dapat melakukan perkara di luar kekuatan jasad.
21. Latihan pernafasan yang betul berserta dengan tafakur terbukti dapat membentuk peribadi seseorang. Di luar negara juga ramai yang dapat membentuk diri menjadi baik dengan teknik pernafasan dan tafakur. Ia tidak mengira golongan dan agama. Banyak kes berkaitan psikologi dan stress telah berjaya dirawat dengan tenaga zikir dan nafas juga tafakur sufi. Ia mampu merawat penyakit berkaitan gangguan makhluk halus sihir dan jin. Kajian pakar mendapati 70% dari penyakit adalah berpunca dari ketidakstabilan emosi atau masalah psikologi. Lantaran itu rawatan yang paling baik ialah membina motivasi seseorang itu kepada kekuatan dalaman iaitu pendekatan dengan Rabbnya.
22. Level pertama ia perlu diajar mengenali Tuhannya dan hakikat kehidupan. Level kedua ia diberi rawatan dengan teknik zikrullah dan tafakur. Dengan eleman ini yang diamal dengan sungguh-sungguh maka jiwa akan pulih dan mempunyai kekuatan untuk menghadapi ujian kehiduapan.
23. Firman Allah s.w.t فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ - "Maka ingatlah kepada Ku nescaya Aku ingat kepadamu (bersama dan melidungi hambaNya" -(Al-Baqarah:152)
Allah memberi jaminan kepada hambaNya yang kukuh iman dan jiwa akan mendapat perlindunganNya dari gangguan Syaitan.
Ikuti sambungan seterusnya...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar